Usulan yang dipersetujui dalam persidangan Konvensyen_Geneva

Pada konvensyen pertama dan kedua

  1. Anggota tentera yang sakit dan cedera (yang tidak bersenjata) tidak boleh diserang. Mereka hendaklah dilayan dengan baik. Jika ditawan, mereka hendaklah dijaga dengan baik seperti pihak musuh menjaga anggota mereka sendiri yang cedera.
  2. Pihak-pihak yang bersengketa hendaklah mengambil tindakan seberapa daya yang boleh mencari dan mengumpul mereka yang cedera dan sakit serta melindungi mereka daripada dianiaya.
  3. Jika boleh, mereka yang mati hendaklah dikumpul dan dikebumikan atau dibakar dengan penuh penghormatan. Butir-butir diri mereka hendaklah diberi kepada agensi-agensi yang berkenaan supaya saudara mara mereka boleh dihubungi. Barang kepunyaan mereka tidak boleh dicuri.
  4. Anggota-anggota perubatan, sama ada berkhidmat dengan tentera, Palang Merah, atau mana-mana organisasi bantuan yang lain, tidak dianggap sebagai kombatan. Mereka tidak boleh diserang. Mereka dibenarkan merawat orang-orang yang sakit atau cedera tanpa gangguan.
  5. Pasukan tentera boleh menahan anggota perubatan tentera dan guru agama tentera supaya mereka boleh digunakan untuk memberi rawatan perubatan atau keperluan agama tawanan perang. Mereka tidak dianggap sebagai tawanan perang, dan hendaklah dibebaskan bila khidmat mereka tidak diperlukan lagi.
  6. Semua bangunan dan unit perubatan seperti hospital, ambulans dan kapal hospital hendaklah menggunakan lambang Palang Merah atau Bulan Sabit Merah supaya dikenalpasti. Mereka tidak boleh diserang, dimusnah atau dihalang daripada menjalankan operasi mereka.
  7. Salah guna lambang Palang Merah atau Bulan Sabit Merah adalah salah dari segi undang-undang.

Pada konvensyen ketiga

  1. Semua tawanan hendaklah memberi nama, pangkat, tarikh lahir dan nombor pengenalan. Maklumat ini hendaklah dihantar kepada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan supaya mereka dapat dikesan oleh kerajaan mereka.
  2. Tawanan perang tidak boleh diseksa untuk mendapatkan maklumat. Mereka tidak boleh diancam (seperti dikurung, tidak diberi makanan) untuk mendapatkan maklumat.
  3. Tawanan perang hendaklah sentiasa diberi layanan yang baik. Mereka tidak boleh didera atau digunakan dalam eskperimen perubatan atau sains.
  4. Tawanan perang tidak boleh dihantar atau ditempatkan dalam kawasan yang terdedah kepada pertempuran. Keadaan hidup mereka (seperti makanan, perlindungan, pakaian) hendaklah sama baiknya dengan anggota-anggota tentera pihak musuh.
  5. Pakaian, makanan dan peraturan kesihatan hendaklah dijaga dengan baik supaya tawan perang berada dalam keadaan yang selesa.
  6. Tawanan perang hendaklah dibenar mengamalkan suruhan agama mereka.
  7. Tawanan perang hendaklah dibenarkan beriadah, membaca dan bersukan.
  8. Tawanan perang yang sihat boleh ditugaskan membuat kerja yang ringan dan tidak merbahaya serta tidak mempunyai tujuan ketenteraan. Mereka hendaklah dibayar dengan bayaran berpatutan atas tugas yang mereka lakukan.
  9. Tawanan perang hendaklah dibenar menerima dan mengirim surat dan juga menerima bungkusan barang (seperti makanan, pakaian, buku dll).
  10. Tawanan perang hendaklah dibenar membuat aduan mengenai keadaan hidup mereka atau hal-hal lain kepada wakil ICRC. Ini hendaklah dilakukan tanpa saksi, dan oleh seorang wakil yang dipilih oleh tawanan-tawanan perang.
  11. Tawanan perang yang tidak berdaya, sakit tenat atau sakit jiwa hendaklah dihantar pulang.
  12. Tawanan perang hendaklah dihantar pulang selepas tamat peperangan

Pada konvensyen keempat

  1. Mereka yang cedera, orang tua, kanak-kanak dan ibu mengandung hendaklah dipindahkan dari kawasan pertempuran.
  2. Hospital awam dan anggotanya hendaklah dilindungi daripada serangan dan dibenarkan menjalankan tugas mereka tanpa gangguan.
  3. Laluan bebas hendaklah diberikan kepada peralatan dan bekalan perubatan dan juga keperluan bagi tujuan keagamaan.
  4. Tindakan harus diambil oleh pihak bermusuhan untuk menentukan bahawa kanak-kanak yatim berusia 15 tahun ke bawah atau mereka dengan keluarga akibat peperangan diberi makanan, pelajaran, tempat tinggal dan pendidikan.
  5. Orang awam mestilah diberi layanan yang baik. Agama, adat dan kepercayaan mereka hendaklah dihormati. Wanita tidak boleh dirogol, diserang atau dipaksa menjadi pelacur.
  6. Adalah dilarang menggunakan paksaan terhadap orang awam untuk mendapatkan maklumat.
  7. Mencuri harta awam atau mengambil tebusan adalah dilarang.
  8. Orang awam yang membuat kesalahan hendaklah dibicarakan di mahkamah.